Sunday, October 25, 2009

TANDA-TANDA AHLI BID'AH

Asy-Syeikh Abu Utsman Ismail bin Abdurrahman Ash-Shobuni
(373 - 449 H)

http://al-muwahhidun.blogspot.com/2009/10/tanda-tanda-ahli-bidah.html


Tanda-tanda bid'ah yang ada pada ahlinya adalah tampak jelas sekali. Di antara tanda-tanda yang paling jelas terdapat pada diri mereka ialah sikap kebencian mereka terhadap orang-orang yang meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam (yakni Ahli Hadis). Ahli Bid'ah menghina dan merendah-rendahkan mereka.


Mereka selalu melontarkan gelaran-gelaran yang buruk kepada Ahli Hadis seperti menggelari mereka sebagai "Hasyawiyah" (orang rendahan), "Jahalah" (orang yang jahil), "Zahiriyah" (orang yang alirannya berasaskan hal-hal lahiriah) dan "Musyabbihah" (orang yang menyamakan sifat-sifat Allah dengan sifat-sifat makhluk). (Sebenarnya gelaran tersebut kembali kepada Ahli Bid'ah tersebut - Pent). Mereka menjuluki Ahli Hadis dengan gelaran tersebut hanya kerana Ahli Hadis berpegang teguh kepada hadis-hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Mereka mengira bahawa hadis-hadis itu terpisah daripada ilmu dan ilmu itu adalah apa yang dijelmakan oleh syaitan kepadanya berupa hasil-hasil pemikiran mereka yang rosak, was-was daripada dada-dada mereka yang gelap, bisikan-bisikan hati mereka yang kosong daripada kebaikan. Sebenarnya ucapan-ucapan, hujah-hujah dan syubhat-syubhat mereka semuanya kosong (tidak ilmiah) dan batil. Allah berfirman:


"Merela itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikanNya telinga mereka serta dibutakanNya penglihatan mereka." (Muhammad: 23)


"Dan sesiapa yang dihinakan Allah maka tidak seorangpun yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Al-Haaj: 18)


Ahmad bin Sinan Al-Qatthan berkata: "Tidak ada di dunia seorang 'Mubtadi' (orang yang membuat bid'ah) melainkan dia membenci Ahli Hadis. Apabila seseorang lelaki melakukan bid'ah, dicabutlah rasa kemanisan (kecintaan) kepada hadis dari dalam hatinya." (Al-Khatib, Syarfu Ashab Al-Hadis, ms. 73. Isnadnya sahih. Az-Zahabi, At-Tazkirah, 2:521 dan As-Siyar, 12:245 dan As-Subki, At-Tabaqat, 2:6)


Abu Ismail Muhammad bin Ismail At-Tirmizi berkata: Ketika saya dan Ahmad bin Al-Hasan At-Tirmizi di sisi Imam Agama Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal, berkatalah Ahmad bin Al-Hasan kepadanya: "Wahai Abu Abdillah! Mereka telah menyebut Ahli Hadis kepada Ibn Abi Qathilah di Mekkah, maka dia berkata: "Ahli Hadis adalah kaum yang jahat," Mendengar sahaja ucapannya itu Ahmad bin Hanbal pun berdiri sambil mengibas-ngibas bajunya seraya berkata: "Zindik! Zindik! Zindik! (orang yang telah terpesong daripada agama Allah)" sehingga dia masuk rumahnya." (Al-Khatib, Syaraf Ashab Al-Hadis, ms. 74. Ibnul Jauzi, Manaqib Imam Ahmad, ms. 233 dan Ibnu Abi Ya'la, Tabaqat Al-Hanabilah, 1:38, 280)


Abu Nasr bin Sallam Al-Faqih berkata: "Tidak ada perkara yang lebih berat bagi Ahli Ilhad (mereka yang kufur) dan lebih mereka benci daripada mendengar hadis dan isnad riwayatnya." (Al-Khatib, ms. 73-74)


Asy-Syeikh Abu Bakr Ahmad bin Ishak bin Ayyub Al-Faqih yang sedang berdebat dengan seorang lelaki. Lalu Asy-Syeikh Abu Bakr berkata kepadanya: "Haddasana Fulan" (Si polan telah meriwayatkan kepada kami) Maka berkata lelaki itu: "Tinggalkan kami dari 'haddasana', sampai bila 'haddasana'?" Maka Asy-Syeikh pun berkata kepadanya: "Berdirilah engkau wahai Kafir! Tidak halal bagimu untuk masuk ke rumahku setelah ini buat selama-lamanya." Kemudian dia memandang kepada kami seraya berkata: "Saya tidak pernah berkata kepada seseorang supaya tidak masuk ke rumahku kecuali kepada lelaki ini."


Abul Qasim Ja'far bin Ahmad Al-Muqri Ar-Razi berkata: Telah dibacakan dihadapan Abdurrahman bin Abu Hatim sedangkan saya mendengarkannya, dia berkata: "Ayahku (Al-Imam di negerinya Abu Hatim Muhammad bin Idris Al-Hanzhali Ar-Razie), beliau telah berkata: "Tanda Ahli Bid'ah ialah menggelar Ahli Hadis 'Al-Waqi'ah' (orang yang suka menabur fitnah). Tanda orang-orang Zindiq ialah menamakan Ahli Sunnah sebagai 'Hasyawiyah'. Mereka menginginkan dengan tindakan mereka itu untuk membatalkan hadis Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Tanda Al-Qadariyah ialah mereka menamakan Ahli Sunnah sebagai Mujbirah. Tanda Al-Jahmiyah pula ialah mereka menamakan Ahli Sunnah sebagai Musyabbihah. Dan tanda Ar-Rafidhah (Syi'ah) ialah menamakan Ahli Hadis sebagai Nabitah (orang yang keluar daripada Islam) dan Nasibah (orang yang memusuhi sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam). (Disebutkan oleh Ibnu Abi Hatim dalam bukunya Aslus Sunnah wa I'tiqad Ad-Din. Al-Lalika`i, Syarah Usul I'tiqad Ahlis Sunnah, 2:179 dan Az-Zahabi menukilkan daripadanya dalam bukunya Al-'Uluw, ms. 139)


Abu Utsman (penulis) berkata: "Saya katakan bahawa semua panggilan seperti itu merupakan 'Asabiyah (fanatisme kepada sesuatu kelompok tertentu) sedangkan Ahli Sunnah tidak layak dinamakan seperti gelaran-gelaran tersebut melainkan dengan satu nama iaitu Ahli Hadis (Ahlul Hadits)."


Abu Utsman berkata: "Saya katakan bahawa saya telah melihat Ahli Bid'ah yang menggelari Ahli Sunnah dengan gelaran-gelaran ini, sedangkan Ahli Sunnah tidak terdapat pada mereka suatu pun ciri-ciri daripada apa yang mereka gelarkan itu. Ini sebagai kemuliaan dan kurnia daripada Allah kepada Ahli Sunnah.


Sebenarnya Ahli Bid'ah telah melalui jalan-jalan orang-orang musyrik -semoga Allah melaknat mereka- terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sesungguhnya mereka telah menggelari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan pelbagai gelaran. Setengah mereka menamakannya sebagai 'tukang sihir'. Ada pula yang menamakannya sebagai tukang tilik (bomoh). Sebahagian lainnya pula menamakannya sebagai 'ahli syair', 'orang gila', 'tukang fitnah', dan 'pendusta yang suka membuat cerita-cerita dongeng'. Sedangkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berlepas diri dan jauh daripada keaiban-keaiban itu. Baginda sallallahu 'alaihi wasallam tidak lain hanya sebagai pesuruh yang telah dipilih oleh Allah dan sebagai Nabi-Nya. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:


"Perhatikanlah! Bagaimana mereka membuat perbandingan-perbandingan tentang kamu, lalu sesatlah mereka. Mereka tidak sanggup (mendapatkan) jalan untuk menentang kerasulanmu." (Al-Furqaan: 9)


Demikian halnya dengan Ahli Bid'ah -semoga Allah menghina mereka-, mereka telah menamakan orang-orang yang membawa hadis-hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan perawi-perawi hadisnya, yang sentiasa mengikuti sunnahnya yang terkenal dengan nama Ahli Hadis (Ahlul Hadits), dengan gelaran-gelaran seperti apa yang dialami oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sebahagian mereka menamakan mereka sebagai 'Hasyawiyah'. Ada di antara mereka menjuluki mereka sebagai 'Musyabbihah', 'Nabitah', 'Nasibah', dan 'Jabariyah'. Sedangkan Ahli Hadis bersih dan jauh daripada keaiban-keaiban tersebut. Mereka tidak lain, melainkan Ahli Sunnah yang melalui jalan yang terang dan diredhai, mereka berjalan di atas jalan yang lurus.


Mereka memiliki hujah-hujah yang kukuh dan mantap. Allah 'Azza wa Jalla telah memberi taufiq kepada mereka dengan membimbing mereka untuk mengikuti KitabNya, WahyuNya dan perkataanyNya (perintah dan larangan) dan menunjuki mereka untuk mengikuti orang yang paling dekat kepada Allah ialah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan mengikuti sunnah-sunnahnya yang makruf dalam bentuk perkataan dan perbuatan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran pada perkataan dan perbuatan. Allah telah menolong mereka (Ahlul Hadits), untuk mengikuti sirah RasulNya sallallahu 'alaihi wasallam dan sentiasa berpegang teguh terhadap sunnahnya.


Allah menjadikan mereka sebagai pengikut-pengikut Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Allah memuliakan dan meninggikan kedudukan mereka dengan berpegangnya mereka kepada sunnah RasulNya. Dia melapangkan dada-dada mereka untuk mencintai NabiNya dan mencintai para ulama' yang memikul syariatNya. Sesiapa yang cinta kepada suatu kaum maka dia akan bersama-sama dengan mereka pada Hari Kiamat kelak berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:


Maksudnya: "Seseorang akan bersama dengan siapa yang dia cintai." (Hadis sahih daripada beberapa orang sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam buku Sahihnya (7:42), Muslim (4:2032, 2033), Abu Daud (5127), At-Tirmizi (2385) dan lainnya)


*Dinukil daripada buku Aqidatus-Salaf (Ahlul Hadith), Siri Manhaj Salaf 1, Judul Asli: Ar-Risalah Fi I'tikad Ahlis Sunnah wa Ashabul Hadis Wal Aimmah Au 'Aqidah As-Salaf Ashab Al-Hadis, penulis Asy-Syeikh Abu Utsman Ismail bin Abdur-Rahman As-Shobuni, pentahqiq Badr bin Abdullah Al-Badr, Penterjemah Abdul Wahab bin Bustami Al-Banjari As-Salafiy, Perniagaan Jahabersa, halaman 138-145)

No comments:

Post a Comment